KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor tidak menolak kemungkinan dua bekas parti komponennya, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) serta Parti Maju Sabah (Sapp) berkemungkinan meletakkan calon di kerusi turut ditandingi gabungan itu.
Hajiji berkata, pertembungan terbabit tidak dapat dielakkan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang berikutan Star dan Sapp bukan lagi sebahagian daripada GRS.
“Kalau sudah keluar, memang berlanggarlah itu,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Pertemuan Bersama Ahli-ahli Yang Berhormat Kerajaan di Dewan Bankuasi Menara Kinabalu di sini hari ini.
Dalam pada itu tanya sama ada tindakan Star keluar GRS akan memberi kesan kepada gabungan itu, Hajiji menegaskan Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal bersama GRS dan diyakini kekal mengimbangi pengaruh terbabit.
Sementara itu, Hajiji berkata, GRS kekal dengan pendirian untuk meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dengan mengambil kira hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, hasil kerjasama baik itu membolehkan Sabah mendapat penurunan kuasa dalam sembilan perkara yang dituntut melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita mesti tahu bahawa hubungan negeri dengan Persekutuan amat penting sekali untuk masa depan Sabah untuk kemajuan Sabah. Kenapa kita harus gaduh dengan kerajaan Persekutuan? Kerajaan kita juga.
“Di samping kita mementingkan menuntut hak kita dan mempertahankan hak negeri, kita juga harus menjaga kepentingan negara kita, itu kepercayaan saya,” katanya – KOSMO! ONLINE