KOTA BHARU – Penyeludup berkemungkinan menggunakan MyKad penduduk yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini untuk mengisi petrol pada harga subsidi menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95) sebelum bahan api itu diseludup ke negara jiran.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata, tiada sebarang kes dikesan setakat ini, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan perkara tersebut boleh berlaku.
“Soal menggunakan Mykad individu tertentu membeli petrol di stesen minyak di kawasan sempadan tidak menjadi kesalahan, namun ia mendorong kepada penyeludupan.
“Bagaimanapun, kuota 300 liter sebulan itu tetap terpakai. Walaupun harga RM2.60 bukan harga subsidi, petrol RON95 tetap dikategorikan sebagai barangan kawalan. Tindakan menyeludup petrol ke Thailand tetap salah dan boleh diambil tindakan,” katanya kepada pemberita semasa Penyerahan Kunci Rumah Rahmah di Mukim Che Latiff, Pantai Mek Mas, di sini hari ini.
Azman memberitahu, walaupun petrol tanpa subsidi dijual pada harga RM2.60, penyeludup tetap memperoleh untung bersih sekitar RM90 bagi satu tong 30 liter.
Katanya, hal ini kerana, petrol RON95 di Thailand masih dijual pada harga RM5.30 seliter.- KOSMO! ONLINE