fbpx
SAINGAN LTdL 2025 mendapat pujian daripada UCI yang menganggap ia antara yang terbaik pernah dianjurkan di Malaysia.

LTdL: MSN serah Kabinet putuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAINGAN Jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 akhirnya melabuhkan tirainya kelmarin dengan pelumba pasukan Team TotalEnergies, Joris Delbove muncul sebagai pemenang jersi hijau selaku juara keseluruhan (GC).

Penganjuran edisi ke-29 itu boleh dianggap sebagai antara perlumbaan terbaik pernah berlangsung di Malaysia apabila menerima penarafan ‘all green’ daripada presiden dan barisan komisar serta pengarah perlumbaan.

Keadaan itu sekali gus membuktikan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) melaksanakan tugas yang sangat baik sejak mengendalikan perlumbaan tersebut pada 2023.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai status penganjuran perlumbaan bertaraf UCI 2.Pro Series itu memandangkan kontrak dua badan induk berkenaan sebagai penganjur LTdL tamat tahun ini.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, sebarang keputusan berhubung hak penganjuran perlumbaan berbasikal itu akan diserahkan kepada Kabinet selepas pihaknya membentangkan laporan penuh.

“Mandat yang diberikan Kabinet adalah tiga tahun, iaitu dari 2023 hingga 2025, jadi kita akan bawa balik kepada Kabinet selepas tamat saingan bagi mendapatkan mandat pada tahun-tahun berikutnya.

“Sebenarnya, UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) juga beri lesen untuk tiga tahun dan ia perlu dimohon setiap tempoh tersebut. Kita ada masa hingga Mac tahun depan bagi memohon lesen penganjuran untuk tempoh tiga tahun lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan sesiapa sahaja yang mengambil tanggungjawab mengendalikan perlumbaan itu selepas ini tidak akan berdepan masalah memandangkan sudah ada kerangka penganjuran disediakan pihaknya.

Jelas Jefri, MSN dan KBS juga sedia untuk berkongsi templat serta panduan penganjuran yang sudah dibentuk sejak mengendalikan perlumbaan berprestij itu pada 2023.

“Kita dapat maklum balas daripada UCI yang mengatakan ini antara perlumbaan terbaik pernah dianjurkan di Malaysia. Mereka menganggap penganjuran ini boleh menjadi contoh kepada negara-negara lain.

“Sekiranya mana-mana pihak mengambil alih penganjuran (LTdL) pada masa akan datang, mereka boleh menggunakan templat yang sudah digunakan MSN dan KBS. Kita tidak ada masalah untuk berikan manual kepada pihak berminat,” ujarnya.

Selain Delbove yang meraih jersi hijau, LTdL kali ini turut menyaksikan pelumba Uno-X Mobility, Erlend Blikra menyambar jersi oren selaku Raja Pecut manakala Raja Bukit dimenangi Patrick Eddy dari pasukan Team Picnic PostNL.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI