KUALA TERENGGANU – Sebuah kenderaan rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengalami kerosakan teruk dipercayai akibat perbuatan khianat di Pusat Niaga Paya Keladi di sini pada Rabu lalu.
Dalam kejadian pada pada 9.45 pagi itu, cermin hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V tersebut retak manakala cermin sisi dan penumpang kanan pula pecah.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, sewaktu kejadian kenderaan terbabit diletakkan di tempat letak kenderaan oleh pegawai terlibat yang sedang menghadiri kursus di premis berhampiran.
Beliau berkata, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis berhampiran mendapati perbuatan merosakkan kenderaan rasmi agensi tersebut disyaki dilakukan seorang lelaki.
“Suspek dilihat telah menghentak cermin hadapan,sisi dan penumpang kenderaan tersebut dengan objek panjang seakan-akan sebatang kayu.
“Motif kejadian masih dalam siasatan. Kita tidak tolak kemungkinan ia disebabkan kekerapan JPJ melakukan operasi penguatkuasaan sejak akhir-akhir ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JPJ Terengganu di sini hari ini.
Mohd. Zamri berkata, pihaknya percaya insiden itu bukan bermotif samun kerana barangan berharga di dalam kenderaan rasmi terbabit seperti komputer riba tidak diusik dan dilarikan suspek berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor yang dihubungi mengesahkan seorang lelaki berusia 57 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE