KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) menjangkakan aksi Piala Emas Raja-Raja (PERR) musim ini akan berlangsung lebih menarik dan kompetitif.
Daripada kualiti aksi Piala Agong yang berpihak kepada Selangor, semalam, Presiden PBSMM, Firdaus Mohamed yakin pertandingan itu akan dapat beri lebih peluang buat pemain menyerlahkan bakat.
“Satu permulaan baik dan kena tahu rata-rata pemain malam ini (semalam) adalah bekas pemain yang pernah mewakili pasukan Piala Presiden, Bawah 23, Piala Belia dan kita nak banyakkan lagi pertandingan supaya mereka sentiasa cergas.
“Jadi bila kita banyakkan pertandingan, ia memberi peluang kepada mereka ini bermain lagi di peringkat tertinggi, sebagai contoh macam Piala Emas Raja-Raja yang akan berlangsung bulan ini.
“Saya rasa hari ini (semalam) satu persembahan menarik. Jadi ini satu permulaan baik daripada kami untuk melahirkan dan membentuk pemain muda,” katanya.
Pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, semalam, Selangor mempertahankan Piala Agong buat kali ketiga berturut-turut selepas menang 4-3 menerusi penentuan penalti ke atas Kuala Lumpur.
Bagi saingan PERR yang akan buka tirai Jumaat ini, dua venue berpusat iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B akan beraksi di Pulau Pinang manakala Kumpulan C dan Kumpulan D bersaing di Kedah. – KOSMO! ONLINE