WASHINGTON – Menantu lelaki Presiden Donald Trump dan seorang utusan kanan kini dalam perjalanan ke Mesir untuk memuktamadkan butiran pembebasan tebusan, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) itu memberi amaran bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan penangguhan oleh Hamas dalam melaksanakan rancangan damai dengan Israel.
Seorang pegawai White House mengesahkan kepada AFP bahawa Jared Kushner dan Utusan Asia Barat Trump, Steve Witkoff dalam perjalanan ke rantau itu untuk memuktamadkan butiran mengenai pembebasan tebusan.
Mereja juga akan membincangkan perjanjian untuk menamatkan konflik antara Israel dan Hamas.
Trump berkata dalam platform Truth Social lewat petang semalam bahawa Israel bersetuju dengan garis awal penarikan diri di Gaza dan maklumat itu telah dikongsikan dengan Hamas.
“Apabila Hamas mengesahkan, gencatan senjata akan berkuat kuasa serta-merta, tebusan dan pertukaran banduan akan bermula dan kami akan mewujudkan syarat untuk fasa penarikan diri yang seterusnya,” tulisnya.
Kumpulan pejuang Palestin itu Jumaat lalu memberi reaksi positif terhadap rancangan Trump yang akan menamatkan perang dua tahun tersebut dengan berkata, ia bersedia untuk membebaskan semua tebusan dan membincangkan butiran mengenai perjanjian itu.
Trump pula menggesa Israel untuk segera menghentikan pengebomannya ke atas Gaza walaupun tentera Rejim Zoionis masih beroperasi di wilayah yang dilanda perang itu.
Beberapa jam kemudian, agensi pertahanan awam enklaf itu berkata, sekurang-kurangnya 57 orang telah terbunuh sejak subuh dalam serangan Israel, termasuk 40 di Bandar Gaza sahaja. – AFP