BANGKOK – Seorang wanita Thai didakwa meraba penunggang teksi motosikal berusia 74 tahun sebelum mencuri wang tunai 17,000 baht (RM2,200) daripada dompetnya, lapor portal berita Thaiger semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Chiab, membuat laporan di Balai Polis Mueang Ang Thong kelmarin selepas menyedari dia telah dirompak.
Menurutnya, wang hilang adalah termasuk 5,000 baht (RM650) yang baru diberikan oleh anak lelakinya, wang kemenangan loteri, dan tambang yang dikutip daripada penumpang.
Chiab menggambarkan suspek sebagai seorang wanita dengan berat kira-kira 100 kilogram, berambut pendek berwarna merah, memakai solekan tebal dan baju-T merah.
Menurut Chiab, wanita itu menyewa teksi motosikalnya untuk pergi ke Hospital Ang Thong dengan tambang 30 baht (RM3.90).
Namun, sepanjang perjalanan, wanita itu dikatakan berbual dengan kata-kata lucah dan menawarkan hubungan intim dengan bayaran 1,000 baht (RM130).
Selain itu, wanita berkenaan juga didakwa meraba alat sulit Chiab dan memeluknya dengan kuat sepanjang perjalanan.
Mangsa berkata, dia telah menegur wanita tersebut supaya berhenti dan memberi amaran agar tidak berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.
Wanita itu kemudian membayar tambang tanpa menimbulkan syak.
Dia hanya menyedari wangnya hilang apabila memeriksa dompet dan mendapati ia kosong. – AGENSI