GEORGE TOWN – Nelayan terutama pemilik bot atau perahu yang tiada lesen menyambut baik keputusan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan Budi Madani RON95 (Budi95) kepada golongan tersebut sekali gus berharap mereka dapat menikmati kelebihan itu secepat mungkin.
Rata-rata yang ditemui Kosmo! Ahad meluahkan kelegaan dan rasa syukur memandangkan perkara tersebut sudah lama dinantikan mereka.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar berkata, ia merupakan berita yang ditunggu-tunggu golongan nelayan terutama yang masih tiada lesen.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Madani kerana sudi mempertimbangkan inisiatif Budi95 kepada nelayan-nelayan termasuk pemilik bot termasuk yang tiada lesen.
“Mereka ini (nelayan tiada lesen) sudah lama memohon lesen tetapi disebabkan kuotanya terhad, dibekukan dan sebagainya, mereka masih tidak dapat menerima lesen itu sekali gus tidak dapat menikmati subsidi petrol RM1.60 yang diberikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Jadi, kita mohon Budi95 dikekalkan pada harga RM1.99 bagi RON95 kepada nelayan-nelayan ini berbanding tanpa subsidi yang ditetapkan pada RM2.60 seliter. Ini bertujuan meringankan beban harian kumpulan nelayan,” katanya kepada di sini semalam.
Sementara itu, seorang pemilik bot, Fahmi Muhammad Ali, 35, pula memberitahu, dia kini boleh menarik nafas lega apabila golongan tersebut juga bakal menikmati manfaat Budi95.
“Memang ini yang kita mahukan selama ini. Ia sedikit banyak dapat membantu kami berjimat cermat dalam kehidupan seharian. Harap keputusan kerajaan (pertimbang inisiatif Budi95) positif,” ujarnya.
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan Kementerian Kewangan baru-baru ini, kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan kerajaan negeri bagi mengumpulkan data pemilik bot supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati kelebihan Budi95.
Di Langkawi, Pengerusi Pangkalan Nelayan Sungai Kuah, Azhar Ahmad berkata, pengendali bot biasanya menggunakan lebih banyak petrol berbanding kenderaan darat.
“Jika 300 liter sebulan untuk kereta agak banyak tetapi bagi bot adalah berbeza. Bagi bot kecil, ada yang menggunakan sehingga dua tong yang mana satu tong antara antara 30 hingga 50 liter bagi satu perjalanan ke laut,” katanya.
Susulan itu, katanya, kalangan pengendali bot terutama nelayan dapat mengurangkan beban kewangan mereka setiap kali mahu keluar mencari rezeki.
Seorang lagi pengendali bot, Hashim Hasan, 62, berkata, pelaksanaan Budi95 yang memerlukan pengesahan kad pengenalan akan mengambil masa bagi membiasakan pengguna.
“Ada banyak inisiatif lain sebelum ini yang dikatakan menyusahkan sedangkan ada manfaatnya kepada rakyat.
“Budi95 masih baru, jadi perkara biasa untuk orang ramai rasa susah kerana perlu pengesahan kad pengenalan tetapi nanti tidak lagi rasa menyusahkan kerana sudah biasa,” katanya.

Di Pontian, golongan nelayan meminta kerajaan agar dapat mengekalkan harga subsidi sebanyak RM1.65 yang diterima sejak tahun 2004 dan berharap tiada sebarang pelarasan yang akan dibuat selepas ini.
Seorang nelayan, Syahirul Azmi Sanif, 45, berkata, walaupun kini kerajaan melaksanakan Budi95 diharap ia tidak akan memberikan kesan kepada golongan nelayan yang telah selesa dengan inisiatif yang diterima itu.
Ujarnya, untuk sekali turun ke laut dia biasanya menggunakan sebanyak 22 liter bagi lingkungan kawasan penangkapan kira-kira 20 kilometer (km) nautika hingga 96 km nautika.
“Dalam sebulan saya menggunakan kira-kira 1,452 liter minyak petrol untuk kegunaan 17 hari turun ke laut bagi menjaring ikan atau udang sebagai mata pencarian utama.
“Saya harap kerajaan mengekalkan harga subsidi ketika ini RM1.65 kepada nelayan yang mempunyai lesen yang sah dan tiada membuat sebarang pelarasan dan sebagainya.
“Rata-rata nelayan macam kami ini adalah golongan B40, bantuan seperti ini amat membantu nelayan mengurangkan kos perbelanjaan,” katanya ketika ditemui di jeti Nelayan Parit 4, Api-Api, Pontian semalam.
Jelasnya, namun harga tersebut hanya boleh dinikmati oleh nelayan yang mempunyai lesen yang sah, manakala mereka yang tiada mempunyai lesen atau nelayan sambilan membeli minyak petrol dengan harga biasa RM2.05.
“Memandangkan hasil tangkapan pun kadangkala tidak menentu, kadang-kadang banyak, kadangkala sikit, harap kerajaan tiada membuat sebarang pelarasan minyak kepada golongn nelayan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














