fbpx
SALAH satu ‘spot’ menarik untuk bergambar di sawah teres Tegalalang.

Terpukau panorama indah Bali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALI, Indonesia merupakan salah satu destinasi yang selalu ada dalam senarai percutian saya. Akhirnya, saya dan rakan-rakan berpeluang menikmati percutian selama lima hari empat malam di pulau yang penuh pesona ini. 

Perjalanan bermula pada 2 September lalu, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Denpasar. 

Penerbangan mengambil masa lebih kurang tiga jam, jadi sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, hari sudah malam. 

Selepas urusan imigresen dan mengambil bagasi, kami terus menuju ke The Rani Hotel & Spa yang terletak di Kuta. 

Malam itu tidak banyak aktiviti, sekadar ‘isi perut’ dan berehat untuk mengumpul tenaga kerana esoknya kami perlu ikut jadual sangat padat.

Hari kedua boleh dikatakan kemuncak percutian dengan lawatan ke Nusa Penida. Seawal pukul 6 pagi, saya sudah bangun, bersarapan dan terus bergerak ke Sanur Harbour. 

Dari situ, kami menaiki bot laju, The Angkut yang memang terkenal. Angin laut yang menerpa wajah sepanjang perjalanan membuatkan rasa teruja semakin menjadi-jadi. 

Setibanya di Nusa Penida, kami menyewa skuter untuk memudahkan perjalanan. 

Destinasi pertama kami adalah Kelingking Beach yang terkenal dengan tebing berbentuk dinosaur, T-Rex. 

Pemandangannya memang menakjubkan, seolah-olah melihat gambar di dalam poskad. Dari situ, kami menuju ke Tembeling Beach yang agak tersembunyi tetapi mempunyai kolam semula jadi menenangkan. 

PENULIS sempat melawat Tanah Lot iaitu salah satu kuil ikonik di Bali.

Tidak ketinggalan juga Broken Beach dengan formasi batuan semula jadi yang sungguh unik. Seharian menjelajah pulau ini memang meletihkan, namun berbaloi. Malam itu kami menjamu selera dengan semangkuk bakso panas di Bakso Kurnia, ringkas tetapi sangat sedap.

Hari ketiga, kami ke Ubud iaitu kawasan seni dan budaya Bali. Singgah di Pasar Sukawati, kami rambang mata melihat pelbagai pilihan kain, batik dan cenderahati pada harga berpatutan. 

Selepas itu, kami ke sawah teres Tegalalang. Panorama hijau yang terbentang luas sungguh mengasyikkan, sesuai untuk bergambar. 

Dari situ, kami meneruskan perjalanan ke Air Terjun Pengempu, lokasi yang lebih tenang dan menyegarkan. 

Dalam perjalanan pulang, kami sempat singgah di Pasar Seni Guwang untuk membeli sedikit cenderamata. 

Malamnya, kami menikmati suasana meriah di Atlas, salah satu pusat hiburan terkenal di Bali.

Hari keempat dimulakan dengan kunjungan ke Tanah Lot iaitu salah satu kuil paling ikonik di Bali. Ombak yang menghempas batu-batu besar dengan latar belakang kuil purba menjadikan pemandangan begitu memukau. 

Kemudian, kami menikmati makan tengah hari dan hi-tea di Monsieur Spoon iaitu sebuah kafe bergaya Perancis yang popular.  

PENULIs bergambar kenangan di Broken Beach, Bali, Indonesia.

Perjalanan diteruskan ke Kopi Abian Subak untuk merasai kopi Bali asli dan mengenali serba sedikit tentang proses penghasilannya.  

Pada sebelah petang, kami ke Uluwatu Temple untuk menyaksikan persembahan tarian kecak dan api dengan latar matahari terbenam. Ia satu pengalaman yang benar-benar magis. 

Malam ditutup dengan makan malam di Bebek Tepi Sawah yang terkenal dengan bebek (itik) goreng rangup.

Hari terakhir tiba dengan sedikit rasa berat hati. Selepas sarapan terakhir di hotel, kami berkemas dan melakukan daftar keluar, sebelum bertolak ke lapangan terbang. 

Penerbangan pulang ke Kuala Lumpur berlepas pada pukul 12.25 tengah hari. Walaupun singkat, namun setiap hari di Bali penuh dengan kenangan indah.

Dari pantai yang memukau, keunikan budaya hingga hidangan menggamit selera. Bali benar-benar meninggalkan kesan mendalam dan sudah tentu membuatkan saya ingin kembali lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN