WASHINGTON – Presiden Donald Trump semalam mengambil peluang daripada kesediaan Hamas untuk berbincang mengenai gencatan senjata dengan mengisytiharkan bahawa Israel mesti segera menghentikan kempen pengeboman di Gaza, lapor portal berita South China Morning Post hari ini.
Trump meminta serangan di wilayah Palestin itu dihentikan bagi membuka ruang kepada rundingan gencatan senjata dengan Hamas.
Dalam satu rakaman video pendek yang dikongsi di media social miliknya Truth Social, Trump menyifatkan hari tersebut sebagai besar, istimewa dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Beliau menambah: “Kita sangat hampir untuk mencapai keamanan di Asia Barat.
“Kita akan lihat bagaimana semuanya berakhir. Kita perlu mendapatkan kata putus yang jelas,” katanya sambil menekankan bahawa semua pihak bersatu mahu peperangan itu berakhir dan melihat keamanan di Asia Barat.
Video itu menyusul selepas satu lagi hantaran Trump di media sosial yang menyatakan bahawa Hamas sudah bersedia untuk keamanan yang berkekalan.
“Israel mesti segera hentikan pengeboman Gaza supaya kita dapat mengeluarkan tebusan dengan selamat dan cepat!,” katanya
Pengumuman itu dibuat selepas Hamas menyatakan mereka bersedia menerima sebahagian daripada pelan damai Gaza tentang 20 perkara yang dicadangkan Trump, termasuk menyerahkan kuasa dan membebaskan semua tebusan yang masih ditahan.
Namun, Hamas yang dilabel sebagai organisasi pengganas oleh AS, Israel dan Kesatuan Eropah menekankan bahawa beberapa perkara lain dalam pelan itu memerlukan perbincangan lebih luas bersama rakyat Palestin.
Semalam terdapat siri kenyataan dari kedua-dua pihak dengan Trump pada awalnya memberi amaran bahawa Hamas mesti menandatangani perjanjian gencatan senjata itu menjelang malam esok atau berisiko menghadapi serangan ketenteraan yang lebih hebat.
Peluang untuk mencapai penyelesaian itu muncul hampir dua tahun selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, yang membunuh kira-kira 1,200 orang dan mencetuskan perang.
Hamas juga menculik 251 orang lagi, kebanyakan daripada mereka telah dibebaskan sejak itu melalui gencatan senjata atau perjanjian lain manakala lebih 60,000 penduduk Gaza maut akibat serangan Israel. – AGENSI