BERA – Fenomena ribuan ikan ‘mabuk’ dan mati di Sungai Bera bagaikan rezeki terpijak buat penduduk apabila mereka ‘berpesta’ mengutipnya sejak dua hari lalu untuk dimakan dan dijual.
Namun, terdapat segelintir pihak yang bimbang sekiranya hasil tangkapan yang disifatkan sebagai ikan ‘zombi’ itu tercemar dengan bahan toksik hingga memudaratkan orang ramai.
Tinjauan mendapati sebahagian penduduk menyiang dan memasak ikan yang dikutip, manakala ada yang menjualnya secara terbuka di beberapa laluan utama.
Seorang pemancing dan aktivis masyarakat dari Felda Purun, Abdul Ghafar Abdul Ghani, 48, berkata, dia telah memberi amaran dalam kumpulan komuniti setempat agar penduduk yang termakan ikan itu segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom sakit perut, muntah atau pening kepala.
“Kita bimbang mereka tidak tahu ikan itu sudah tercemar. Jika tak sedap badan, terus ke klinik. Setakat ini, belum ada kes sakit dilaporkan. Ketika mudik ke hulu Sungai Bera tengah hari kelmarin, saya mula melihat ikan terapung dan lemah.
“Petang itu kawan-kawan saya pergi sauk ikan mabuk. Memang ramai duduk tepi tebing sauk ikan. Ada yang terus bungkus bawa balik,” katanya semalam.
Fenomena ikan mabuk dan mati itu dilaporkan berlaku sepanjang lebih 10 kilometer termasuk berhampiran Loji Air Bera 2, Lubuk Temangan dan beberapa jajaran lain yang menjadi lokasi utama kaki pancing.
Seorang pemancing dari Felda Triang 1, Mohd. Arif Uyub, 35, berkata, dia terkejut melihat orang ramai menyauk ikan itu dan memasukkannya ke dalam guni tanpa sedikit pun rasa curiga terhadap tahap keselamatan makanan itu.
“Mereka anggap macam pesta. Ada bawa balik, ada juga yang jual di tepi jalan. Mereka tak sedar ia mungkin beracun,” katanya.
Seorang kaki pancing, Khairi Zuki Hamzah, 32, berkata, dia yang turut memakan ikan tersebut mula berasa bimbang selepas memikirkan jika beracun.
“Namun syukur kerana tidak alami apa-apa kesan keracunan lepas menikmati juadah beberapa jenis ikan termasuk baung.
“Lepas lihat ramai menyauk ikan ‘mabuk’ itu saya pun turut sama tangkap dan bawa balik untuk dimasak dan dimakan bersama keluarga.
“Apabila ada yang mengatakan ia mungkin tercemar saya mula bimbang akan keselamatan keluarga. Cuma saya tidak mahu lagi ambil risiko makan ikan ini,” katanya selain berharap pihak berkuasa sentiasa memantau tahap kebersihan Sungai Bera.














