fbpx
LIVERPOOL perlu segera melupakan dua kekalahan lalu dengan memberikan tumpuan penuh kepada aksi menentang Chelsea awal pagi esok. - AFP

Liverpool tak sanggup kalah kali ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot enggan mengulangi rekod buruk kelab itu selepas kali terakhir tewas tiga perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan pada dua tahun lalu.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang tewas 1-2 kepada Crystal Palace dan 0-1 di tangan Galatasaray, berpotensi mengulangi sejarah malang tersebut sekiranya tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge awal pagi esok.

Kali terakhir Liverpool tewas tiga kali berturut-turut, bermula 0-1 kepada Bournemouth, 0-1 Real Madrid dan 1-4 Manchester City pada musim 2022/23 yang menyaksikan mereka menamatkan kempen di tangga kelima.

Lebih memburukkan keadaan pertemuan dengan Chelsea adalah aksi terakhir sebelum liga berehat memberi laluan kepada tugasan antarabangsa dan kemudian meneruskan saingan menentang seteru utama, Manchester United pada 19 Oktober.

Slot mengharapkan penyerangnya, Hugo Ekitike yang mengalami kecederaan menentang Galatasaray, diberikan ‘lampu hijau’ oleh pasukan perubatan selepas penjaga golnya, Alisson 99.9 peratus tidak akan diturunkan bertemu Chelsea.

“Sukar untuk mengatakannya buat masa sekarang tetapi ketika itu dia (Ekitike) berasa tidak selesa. Jadi kami membuat keputusan untuk mengeluarkannya. Sudah tentu kami berharap dia dapat bersama hujung minggu ini (awal pagi esok),” kata Slot.

Berdasarkan laporan The Athletic, Ekitike cuma mengalami kekejangan, bukannya kecederaan hamstring yang dikhuatiri boleh menyebabkan dia terlepas untuk satu tempoh lama.

Sementara itu, pemain tengah Liverpool, Curtis Jones percaya mereka mampu bangkit memberikan reaksi balas lebih positif meskipun tidak mudah berdepan Chelsea selaku pemenang Piala Dunia Kelab tahun ini.

“Kekalahan adalah sebahagian daripada adat permainan. Mungkin anda gila kalau merasakan boleh menang setiap perlawanan kerana ia tidak akan berlaku.

“Memang pedih apabila tewas dan sekarang terpulang kepada kami untuk menunjukkan kebangkitan. Namun, saya percaya kami boleh lakukannya,” kata Jones. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI