SEPANG – Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) akhirnya mengesahkan kapal Mikeno yang membawa aktivis kemanusiaan Ardell Aryana tidak lagi bergerak dan telah pun dipintas tentera Israel.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sani Araby Abdul Halim berkata, pihaknya kuat mengatakan bahawa Ardell tidak berada di atas kapal itu dan mungkin telah dipindahkan ke darat.
Beliau berkata, Ardell termasuk peserta lain dalam kapal itu kemungkinan telah dipindahkan ke darat selepas lebih 20 jam tidak dapat dihubungi.
“Berdasarkan pemantauan melalui sistem penjejak (tracker) dan maklumat diterima, kapal Ardel kini dilihat tidak lagi bergerak.
“Kemungkinan pertama ialah kapal berkenaan sudah tidak bergerak, manakala kemungkinan kedua, mereka masih berada di atas kapal tetapi dalam proses pemindahan,” katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab spekulasi dan dakwaan kononnya kapal dinaiki Ardell itu telah menghampiri pantai Gaza kerana ia berada paling hadapan, berdekatan perairan Gaza.
Katanya, pihaknya percaya kemungkinan besar kesemua delegasi akan dipindahkan ke darat dalam masa terdekat, berdasarkan corak tindakan yang pernah berlaku sebelum ini.
Sani Araby berkata, berdasarkan pola sebelum ini, setiap kali berlaku pintasan, pihak rejim akan membawa mereka ke darat bagi tujuan soal siasat dan tahanan sementara.
“Namun, ketika ini kita belum dapat mengesahkan perkara itu secara rasmi,” katanya. – KOSMO! ONLINE