fbpx
Ribuan ikan eksotik mati akibat pencemaran di Sungai Bera.

Ribuan lampam, patin Sungai Bera mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERA – Nelayan dan pemancing mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang menyebabkan pencemaran Sungai Bera hingga mengakibatkan ribuan hidupan air mati.

Mereka mendakwa, kejadian itu berulang hampir setiap tahun tanpa penyelesaian menyeluruh apatah lagi kejadian kali ini merupakan paling serius pernah berlaku.

Seorang pemancing, Abdul Ghafar Abdul Ghani, 48, berkata, pencemaran mengakibatkan pelbagai spesies ikan seperti baung, patin dan lampam mati serta timbul di kawasan Lubuk Tembangan.

“Saya terkejut apabila mendapati ribuan ikan mati ketika hendak memancing pada pukul 8 malam Ahad lalu.

“Setiap tahun benda sama berlaku. Kalau bukan sebab tuba, mesti sisa buangan kilang dan tiada tindakan tegas walaupun aduan telah dibuat,” katanya.

Menurut Abdul Ghafar, dia mendapat tahu ikan mabuk dan mati pada sebelah malam selepas penduduk menyauk hidupan air itu pada sebelah petang di Loji Air Bera 2 walaupun menyedari risikonya.

Semalam Kosmo! melaporkan penduduk di sekitar Sungai Bera di sini, gempar apabila ribuan ikan pelbagai spesies ditemui mati terapung sejak Jumaat lalu dipercayai akibat pencemaran air.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islam Malaysia Daerah Bera, Mat Jidi Yaakob dilaporkan berkata, penduduk percaya kejadian itu berpunca daripada pembuangan sisa kilang atau racun perosak yang mengalir ke Sungai Bera.

Sementara itu, Pegawai Daerah Bera, Datuk Ahmad Nasim Mohd. Sidek berkata, pencemaran yang mengakibatkan ribuan ikan mati itu dalam keadaan terkawal dengan dipantau rapi Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan.

“Indikator semasa menunjukkan peningkatan positif tahap kebersihan air, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kami sedang menunggu keputusan analisis sampel daripada Jabatan Kimia untuk pengesahan.

“Pihak JAS juga sedang memeriksa semua kilang dalam kawasan Sungai Serting bagi memastikan tiada lagi sumber pencemaran,” katanya.

Menurut Ahmad Nasim, Pihak Berkuasa Tempatan turut memantau kilang-kilang dalam sektor sawit dan getah bagi memastikan pematuhan peraturan alam sekitar dipertingkatkan.

Katanya lagi, ketua kampung dan penghulu juga telah diminta menyalurkan segera sebarang maklumat daripada nelayan sungai tempatan berhubung perubahan atau insiden luar biasa di kawasan terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN