MONACO – Manchester City harus mengelak dihimpit perasaan cemas selepas hanya mampu meraih keputusan seri 2-2 dengan AS Monaco pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stade Louis II awal pagi semalam.
Sepanjang perlawanan, The Citizens menguasai 71 peratus permainan dengan merekodkan enam percubaan tepat yang menyaksikan bintang Norway, Erling Haaland meledak kedua-dua gol buat City.
“UCL adalah pertandingan yang sukar, lihat saja musim lalu kami juga tersingkir daripada saingan ini. Setiap perlawanan sentiasa menjanjikan aksi sukar dan tidak banyak pasukan yang menang dalam dua perlawanan awal.
“Inilah situasi sebenar dan kami pastinya tidak gembira dengan keputusan ini. Di babak kedua kami ada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dan kami memang tidak berhak untuk meraih kemenangan.
“Kami perlukan tenaga tambahan seperti di separuh masa pertama. Situasi ini nyata berbeza apabila pasukan lawan tampil lebih baik lagi berbanding kami,” kata Haaland.
Jordan Teze memastikan gol pertama buat Monaco, namun harapan City meraih kemenangan kedua pada saingan musim ini musnah apabila Eric Dier menyempurnakan penalti pada minit terakhir perlawanan untuk menamatkan aksi dengan keputusan seri 2-2.
“Bola sepak tidak hanya berkisar mengenai kawalan bola, sebaliknya pembabitan juga boleh dilakukan dengan cara berbeza.
“Itu tugas saya, namun walaupun meledak (gol) dua kali, saya percaya masih belum melakukan tugas dengan baik,” tambah Haaland yang kini sudah mengumpul keseluruhan 11 gol daripada lapan perlawanan musim ini. – AGENSI