LIVERPOOL – Legenda Liverpool, Jamie Carragher lantang mengkritik prestasi bekas pasukannya selepas tewas mengejut 0-1 kepada Galatasaray pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium RAMS Park, Istanbul kelmarin.
Ia menyusul selepas mereka mencatat kekalahan pertama musim ini ketika tumbang 1-2 kepada Crystal Palace hujung minggu lalu, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada skuad kendalian Arne Slot benar-benar berada pada tahap pasukan elit.
“Saya tidak nampak Liverpool bermain seperti pasukan elit. Mereka kini lebih mirip bola keranjang, berbalas serangan tanpa kawalan. Pasukan elit tidak bermain begitu,” kata Carragher.
Situasi bertambah parah apabila penjaga gol utama, Alisson Becker dan Hugo Ekitike turut mengalami kecederaan, sekali gus mengganggu keseimbangan pasukan di jentera serangan serta pertahanan.
Carragher menegaskan Slot perlu segera mencari solusi selepas perubahan besar yang dilakukan di pasaran perpindahan belum menunjukkan hasil positif.
“Dia jurulatih hebat, tapi sekarang dia perlu buktikan kebolehannya. Inilah masanya untuk dia benar-benar ‘earn his money’,” katanya.
Bekas pertahanan itu turut memberi amaran mengenai kelemahan benteng The Reds yang semakin ketara apabila Palace berjaya mencipta tujuh peluang besar menentang mereka iaitu rekod tertinggi dalam EPL musim ini.
Carragher percaya masalah itu bukan kebetulan semata-mata, sebaliknya berpunca daripada kehilangan keseimbangan pasukan selepas membawa masuk beberapa pemain bintang tanpa memperoleh kelebihan di bahagian serangan.
Dengan reputasi sebagai juara bertahan EPL, tekanan kini semakin memuncak buat Slot untuk segera memperbaiki keadaan sebelum situasi menjadi lebih parah menjelang aksi menentang Chelsea di Stamford Bridge awal pagi Sabtu ini. – AGENSI