fbpx
Kewajipan menutup aurat bukanlah sesuatu yang boleh dipilih-pilih mengikut selera atau kecenderungan peribadi. - Janaan AI

Hukum tidak bertudung atas alasan mencari agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APAKAH hukum tidak pakai tudung atas alasan ingin mencari agama dengan cara sendiri? Ada yang mengatakan tidak pakai tudung itu antara dia dengan Tuhan.

JAWAPAN: SETIAP orang yang beragama Islam dianggap mukalaf apabila memenuhi dua syarat utama iaitu mencapai umur baligh dan berakal. Justeru, apabila dia dianggap mukalaf, kewajipan syarak mula dipertanggungjawabkan ke atasnya dan meninggalkannya dianggap dosa.

Dalil mewajibkan menutup aurat kepala terutamanya rambut dan leher bagi wanita jelas disebutkan dalam nas-nas syarak.

Mengingkarinya tanpa alasan yang munasabah boleh membawa kepada penolakan terhadap syariat yang jelas dan muktamad.

Wanita wajib menutup aurat dengan melabuhkan tudung kepalanya berdasarkan firman Allah SWT: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung mereka ke dada mereka.” Surah an-Nur, 31)

Memakai tudung sama sekali tidak membataskan kebebasan wanita Muslimah dalam melaksanakan peranan serta tanggungjawab mereka dalam sebarang bidang.

Kewajipan menutup aurat bukanlah sesuatu yang boleh dipilih-pilih mengikut selera atau kecenderungan peribadi.

Seseorang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT hendaklah menerima keseluruhan ajaran-Nya secara menyeluruh, bukan hanya sebahagian daripadanya.

Penolakan terhadap kewajipan menutup aurat tanpa alasan yang diiktiraf syarak bukan sahaja menggugat komitmen seseorang terhadap syariat, bahkan boleh membawa implikasi yang lebih serius dari sudut akidah jika dilakukan dengan sikap menolak atau meremehkan hukum Allah SWT.

Tidak menutup aurat sememangnya merupakan urusan seorang hamba dengan Allah SWT, namun sekiranya benar seseorang itu ingin mendekatkan diri kepada-Nya, tanda yang paling utama ialah ketaatan terhadap perintah-Nya, bukan dengan meninggalkan kewajipan yang telah ditetapkan.

Ucapan atau sikap yang menolak kewajipan syarak merupakan perkara yang serius kerana boleh membawa implikasi besar terhadap akidah.

Para ulama menegaskan bahawa jika seseorang Muslim mengingkari suatu hukum syarak yang telah disepakati oleh ijmak ulama dan diketahui secara jelas dalam agama, maka perbuatan tersebut boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.

Namun, sekiranya seseorang tidak menunaikan kewajipan tersebut tetapi masih mengakui akan kewujudannya sebagai hukum Allah SWT, maka dia dikira berdosa besar, fasiq dan melakukan maksiat, tetapi tidak sampai ke tahap kafir.

Oleh itu, seorang Muslim hendaklah berhati-hati dalam ucapan dan tindakannya, serta berusaha mengelakkan daripada menjadikan alasan sebagai justifikasi untuk meninggalkan kewajipan syarak.

Perbuatan sebegini bukan sahaja menzahirkan kelemahan iman, bahkan boleh membawa implikasi lebih besar sekiranya disertai dengan penafian terhadap hukum Allah SWT.

Kesimpulannya, memakai tudung bukan sekadar simbol penampilan seorang wanita Muslimah tetapi merupakan kewajipan agama yang mesti dipatuhi. Ia melambangkan ketaatan kepada perintah Allah SWT serta berperanan menjaga maruah dan kehormatan diri.

Pada masa sama, kewajipan ini turut membantu memelihara ketenteraman masyarakat dengan mengelakkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan gangguan atau kerosakan sosial.

Dalam hal ini, wanita yang diuji dengan rasa ingin membuka tudung atau memilih jalan yang dianggap ‘antara dia dengan Tuhan’ perlu dibimbing dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI