fbpx
Wan Mohamed Saupee.

Sindiket menyamar imigresen kaut untung ribuan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan dikesan menawarkan pelepasan pekerja asing dengan menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen (JIM) sehingga mengaut keuntungan mencecah ribuan ringgit

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, perkara itu dikesan pihaknya susulan aduan yang diterima daripada majikan di seluruh negara.

Menurutnya, modus operandi sindiket terbabit adalah meminta bayaran kepada majikan bagi membebaskan individu warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan oleh pihak JIM.

“Kita dapati selepas operasi dijalankan, ramai majikan telah dihubungi pihak tertentu kononnya pegawai imigresen yang menjanjikan untuk membebaskan pekerja asing dengan bayaran tertentu.

“Ini adalah satu penipuan, saya nak tegaskan kepada majikan supaya jangan percaya kerana itu adalah ‘scammer’,” katanya.

Wan Mohamed Saupee berkata, hampir setiap bulan terdapat cubaan dan majikan yang terperdaya dengan penipuan terbabit.

“Sebagai contoh, minggu lalu, ada cubaan untuk menipu majikan dengan bayaran RM32,000. Tetapi majikan tersebut telah membuat semakan dan berjaya terselamat daripada kerugian.

“Kita dapati, sindiket ini mengenakan bayaran RM5,000 untuk seorang. Tetapi apabila hadir ke pejabat untuk menuntut pembebasan (warga asing), baru majikan sedar dia telah ditipu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihak imigresen tidak akan melanggar peraturan dan undang-undang atau menjalankan kegiatan seumpama itu.

“Sekiranya (majikan) dihubungi oleh pihak yang tidak dikenali, yang mendakwa sebagai pegawai imigresen, sila hadir ke pejabat.

“Jangan berurusan melalui telefon, mesej, ataupun memasukkan wang, kononnya untuk melepaskan PATI,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI