PETALING JAYA – “Saya minta tolong, jangan ambil mana-mana maklumat yang tidak rasmi. Tolong fokus kepada Sumud Nusantara Command Centre (SNCC)”.
Itu antara pesanan salah seorang peserta konvoi Global Sumud Flotilla (GSF), Rahmat Ikhsan atau dikenali PU Rahmat, sebentar tadi.
Ia susulan terdapat beberapa maklumat tidak sahih yang berlegar-legar di media sosial mengenai perjalanan misi berkenaan.
“Tolong fokus kepada SNCC yang akan bersidang, melakukan sidang media setiap hari,” katanya menerusi media sosial.
Selain itu, beliau turut berpesan agar masyarakat dunia terus kekal sumud, ‘bising’ dan bersolidariti.
“Sebab semua perkara tu diambil kira oleh rejim Zionis. Seperti mana kita tahu, mereka telah buat kajian tentang satu kempen kita iaitu ‘Israel koyak’ atau ‘Israel cuak’.
“Kajian itu menunjukkan bahawa kerana kita bising di media sosial, sokongan masyarakat dunia beralih ke Palestin,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut meminta agar orang ramai terus teguh dan membantu memantau misi berkenaan.
“Kami tak tahu keadaan kami, barangkali pada waktu itu ada telefon bimbit yang telah dibuang dan kami tak dapat dihubungi atau sebagainya. Kekal teguh untuk membantu dan memantau kami.
“Andai kata kami sampai, Alhamdulilah. Jika tidak sampai dan kami dipintas, minta untuk segala urusan dan usaha diplomatik diserah kepada Kerajaan Malaysia untuk bantu selamatkan kami. Kekal sumud, jangan gentar. Allahuakbar,” tambahnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, konvoi GSF telah melepasi zon merah.
PU Rahmat melaporkan, mereka kini hanya berada kira-kira jarak 100 batu nautika untuk tiba ke perairan Gaza. – KOSMO! ONLINE