PETALING JAYA – Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) ke Filipina bagi membantu operasi kemanusiaan susulan gempa bumi bermagnitud 6.9 yang melanda Wilayah Cebu, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tragedi itu mengorbankan puluhan nyawa, mencederakan ratusan mangsa dan menjejaskan kehidupan jutaan penduduk di kawasan terlibat.
“Laporan awal mendapati kerosakan infrastruktur serius, termasuk runtuhan kediaman, komersial dan rumah ibadat bersejarah Archdiocesan Shrine of Santa Rosa de Lima di Daanbantayan yang mengalami keruntuhan separa.
“Gangguan bekalan elektrik turut berlaku di beberapa kawasan, manakala jalan raya, jambatan dan infrastruktur kritikal lain rosak teruk dengan anggaran kerugian mencecah AS$45.7 bilion (RM214.8 bilion),” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Malaysia meluluskan atur gerak Pasukan Smart dalam konfigurasi penuh sebagai langkah kesiapsiagaan bantuan kemanusiaan kepada Filipina.
Katanya, seramai 77 anggota akan digerakkan pada pukul 9 pagi esok dengan kelengkapan peralatan mencari dan menyelamat (USAR), sistem komunikasi, rawatan perubatan kecemasan, Unit K9 serta kenderaan logistik.
“Langkah ini menzahirkan komitmen Malaysia terhadap solidariti serantau ASEAN serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat digerakkan segera demi menyelamatkan nyawa dan memulihkan kehidupan mangsa bencana di Filipina.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar rakyat Filipina terus diberikan kekuatan, ketabahan dan perlindungan Ilahi dalam menghadapi ujian besar ini,” katanya.-KOSMO! ONLINE.