PEMAIN tempatan diminta bersikap lebih peka dengan perkembangan semasa bola sepak tanah air dan perlu berada dalam keadaan bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab bersama skuad kebangsaan jika dipanggil.
Ketika ini, tiada gambaran jelas mengenai nasib tujuh pemain warisan, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dollah Salleh tetap percaya pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski memiliki perancangan tersendiri untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk jika hukuman terhadap tujuh pemain berkenaan dikekalkan.
“Di Malaysia masih ramai lagi pemain dan beliau (Cklamovski) mesti mempunyai keyakinan untuk menentukan siapa pemain yang akan dipilih jika situasi negatif ini berlaku. Tetapi saya percaya semuanya akan positif.
“Saya percaya kita ada pemain tempatan yang berkebolehan, jika diberi kepercayaan oleh jurulatih, InsyaAllah tiada masalah. Saya yakin ramai pemain tempatan yang mampu cuma jika peluang itu datang disebabkan situasi ini, janganlah lepaskan.
“Mereka perlu tunjukkan kemampuan. Itulah yang kita inginkan, bukan pemain yang sekadar memenuhi kuota. Kita mahu pemain yang apabila diberi peluang, mereka akan merebutnya dan membuktikan kebolehan mereka,” katanya.
Selepas mengatasi Vietnam 4-0 di kelayakan Piala Asia 2027, Jun lalu, Harimau Malaya dilihat berada dalam momentum terbaik apabila meraih dua lagi kemenangan lagi ke atas Singapura 2-1 dan Palestin 1-0 pada perlawanan persahabatan.
Ketika ini, FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada. – KOSMO! ONLINE