PETALING JAYA -Seorang lelaki dipercayai bukan warganegara dikecam netizen selepas meluahkan ketidakpuasan hati kerana tidak mendapat akses Budi Madani RON95 (Budi95).
Menerui perkongsian pengguna Threads, lelaki itu berkata terpaksa membayar minyak dengan harga tanpa subsidi disebabkan sistem Budi95 yang diperkenalkan.
“Disebabkan sistem ini, saya kena membayar petrol dengan harga lebih mahal hari ini,” menurutnya pada hantaran Threads.
Tambahnya, dia (lelaki) itu turut berterima kasih dan mengutuk pihak kerajaan kerana menyusahkannya dengan sistem dengan kata-kata kasar.
Hantaran itu kemudian mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang rata-rata mengecam lelaki berkenaan.
“Ini sama ada kau tak ada kad pengenalan yang sah atau lesen memandu, tapi tengok cara kau cakap ‘kerajaan kamu’, mungkin kau bukan rakyat Malaysia pun,” komen @Juansean_
“Kalau tiada kad pengenalan, kena bayar RM2.60 seliter. Itu pun tak faham ke?,” kata John.
“Tidak kemaskini kad pengenalan, tiada lesen memandu atau bukan warganegara sebenarnya ini? Bayar tanpa subsidi kalau macam itu, ada duit untuk melancong tapi tiada duit untuk bayar lebih,” kata Jayden.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebanyak RM43.7 juta pembelian direkodkan bagi 21.8 juta liter petrol RON95 menerusi inisiatif Budi95 setakat semalam.
Budi Madani 95 diperkenalkan kerajaan untuk meringankan beban sara hidup golongan berpendapatan sederhana dan rendah terus mendapat akses petrol pada harga mampu milik. -KOSMO! ONLINE