HULU SELANGOR – Pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) di Terowong Menora, Perak berjaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya secara ketara.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebelum ini lokasi berkenaan hampir setiap minggu mencatatkan kemalangan namun berubah selepas penguatkuasaan Awas itu.
“Selepas pemasangan Awas, kadar kemalangan menurun dengan ketara. Ada lokasi yang hampir dua bulan tidak mencatatkan sebarang kemalangan, sedangkan sebelum ini boleh dikatakan berlaku hampir setiap minggu.
“Ini membuktikan keberkesanan sistem ini dalam meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya,” katanya pada sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa Kalumpang di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, tujuan utama pemasangan kamera AWAS bukanlah untuk mengutip saman, sebaliknya mendidik pemandu supaya lebih berhati-hati, khususnya di kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.
“Masih ada pemandu yang melanggar had laju, namun mesej utama yang kita mahu tekankan adalah kesedaran.
“Pemandu perlu berhati-hati bukan sahaja di lokasi pemasangan kamera Awas, tetapi juga di laluan berisiko lain,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan sebanyak 3,000 notis saman dikeluarkan setiap hari menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju di Terowong Menora, Ipoh di Perak.
Jumlah saman tersebut diperoleh menerusi dua kamera Awas yang dipasang pada kedua-dua arah di Lebuh Raya Utara Selatan.
Notis saman tersebut paling banyak direkodkan pada waktu puncak terutamanya semasa musim perayaan atau cuti persekolahan. – KOSMO! ONLINE