KUALA TERENGGANU – Cubaan sebuah sindiket untuk menyeludup 47,000 liter diesel bernilai lebih RM1.6 juta berjaya digagalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam serbuan terhadap sebuah kapal tunda mencurigakan di jeti berhampiran Sungai Kuang, Kemaman pada Sabtu lalu.
Kapal tunda terbabit telah diserbu pada pukul 3.45 pagi dalam operasi yang dijalankan hasil risikan selama lima bulan.
Pengarah KPDN Terengganu , Mohd. Mufsi Lat berkata, operasi sama turut berjaya menahan lapan lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 20-an hingga 60-an yang dipercayai pekerja kapal tunda berkenaan.
“Siasatan awal percaya modus operandi mereka ialah membeli diesel daripada kapal-kapal di perairan Laut China Selatan serta kapal berlabuh di jeti itu.
“Diesel tersebut kemudiannya dipindahkan ke kapal tunda terbabit menggunakan paip getah dan pam kargo sebelum dijual semula secara haram di pasaran gelap,” katanya pada program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDN Terengganu, di sini hari ini.
Mohd. Mufsi berkata, pemeriksaan turut menemui tiga tangki penimbang kapal yang sepatutnya berisi air telah diubah suai bagi menyembunyikan diesel berkenaan.
Beliau berkata, siasatan sedang dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, Mohd. Mufsi berkata, KPDN melupuskan ekshibit melibatkan pelbagai barangan kes rampasan seperti lori tangki, alat timbang serta pakaian, beg dan kasut tiruan bernilai keseluruhan RM205,154.60. – KOSMO! ONLINE