PETALING JAYA – Seorang pekerja meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa diarahkan majikannya untuk menggunakan subsidi Budi Madani RON95 (Budi95) yang diterima bagi urusan kerja.
Menerusi hantaran dimuat naik pemuda di akaun Thread, dia menyertakan gambar perbualan bersama majikannya.
Di dalam perbualan itu, majikannya berkata bermula 30 September, semua pekerja iaitu pemandu perlu mengisi minyak menggunakan subsidi yang diberi kerajaan.
Katanya arahan itu dibuat dengan alasan bagi menjimatkan kos operasi syarikat, khususnya melibatkan perkhidmatan menghantar pelanggan.
“Mula 30 September semua pemandu wajib guna kad pengenalan isi minyak. Jika habis kuota cuba dapatkan kad pengenalan ahli keluarga. Tolong jimat penggunaan minyak,” tulis majikannya dalam perbualan tersebut.
Susulan itu pekerja tersebut meminta pendapat orang ramai adakah tindakan tersebut adil bagi pekerja sepertinya.
“Macam mana pula kalau majikan nak gunakan hak kita ini buat pakai untuk kereta hari-hari hantar orang? Ada cadangan?,” tulis lelaki itu.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang menasihati agar pemuda tersebut mempertahankan haknya.
“Weh ini tak boleh. Subsidi itu hak kau, bukannya syarikat,” komen Win.
“Salah syarikat buat macam tu. Boleh buat laporan. Takkan syarikat tak mohon ‘fleet card’ kot,” komen Akif.
“Dah sengkek sangat ke syarikat sampai subsidi pekerja pun nak guna. Teruk sangat, abang jangan ikut sila ambil tindakan,” komen Husin.
Budi Madani 95 diperkenalkan kerajaan bagi memastikan golongan berpendapatan sederhana dan rendah terus mendapat akses petrol pada harga mampu milik, sekali gus meringankan beban kos sara hidup.
Mulai hari ini semua golongan rakyat yang layak dapat menikmati subsidi Ron95 pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter. -KOSMO! ONLINE