JITRA – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di bulatan Jitra berdekatan Hospital Jitra, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an itu meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, nahas membabitkan lori jenis Hino membawa muatan simen dan motosikal Yamaha Nouvo LC.
“Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah menerima panggilan melalui talian MERS 999 memaklumkan terdapat kemalangan di lokasi tersebut.
“Seramai tujuh anggota BBP Jitra dikejarkan ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mayat pasangan itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, sementara pemandu lori berusia 51 tahun tidak mengalami kecederaan. – KOSMO! ONLINE