PETALING JAYA – “Kepingan terakhir makan dengan perlahan,” itu luahan sukarelawan Malaysia dikenali sebagai Haroqs yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Menerusi hantaran ringkas pada akaun Thread, Haroqs atau nama sebenarnya Muhammad Hareez Adzrami, 25, memaklumkan, bekalan coklat dibawanya adalah yang terakhir tinggal ada hari ini.
“Perut ni dari tadi berbunyi, lapar coklat. Coklat saya tinggal yang terakhir hari ini,” katanya pada perkongsian tersebut, hari ini.
Pada hantaran lain, dia turut memuat naik video keadaan kapalnya berlayar pada waktu malam.
“Beginilah keadaan kapal kami pelayaran di waktu malam sangat mencabar ya. Perlu sentiasa berhati-hati,” katanya.
Media melaporkan, dua kapal perang Tentera Laut Turkiye telah mula mengiringi Global Sumud Flotilla, yang kini pelayarannya berada pada jarak tiga hari dari Semenanjung Gaza, lapor laman berita Nova News semalam.
Menurut penganjur, kapal-kapal itu menghubungi flotila untuk mengesahkan keperluan mereka dan menjanjikan sokongan serta perlindungan semasa pelayaran, lapor portal berita Tousi TV.
Setakat ini, tiada pengesahan daripada pegawai Turkiye atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menggariskan peraturan penglibatan tersebut, lokasi pengiring yang tepat atau sama ada ia adalah isyarat simbolik atau perlindungan aktif. – KOSMO! ONLINE