GEORGE TOWN – Seorang penganggur terpaksa meringkuk di dalam penjara selama setahun termasuk didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku memecah masuk pejabat Kopa Arena Universiti Sains Malaysia (USM), Ogos lalu.
Tertuduh, Mohd Zulkifli Ghazali, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Dalam pada itu, mahkamah juga memutuskan bahawa tertuduh dikenakan penjara tiga bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memecah masuk sebuah premis yang digunakan sebagai tempat simpan harta dengan tujuan mencuri sebuah kamera Canon IDX Mark II, kanta kamera Canon masing-masing satu jenis 100-400mm dan 24-70mm, mikrofon jenama DJI serta 14 helai jersi Penang FC milik 59 Kopa Sdn. Bhd. dengan anggaran kerugian bernilai RM20,000.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat Kopa Arena USM, Gelugor di sini, kira-kira pukul 5.09 pagi, 28 Ogos lalu.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, atau sehingga 14 tahun serta sebatan jika kesalahan dilakukan dengan niat mencuri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Asmeeta Rajendran.
Semasa prosiding, Ahmad Danial memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kerugian dan pengajaran terhadap perbuatan yang dilakukannya.
Asmeeta dalam mitigasi rayuan memohon mahkamah menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh dari tarikh dia ditangkap selain mengenakan denda yang minimum memandangkan anak guamnya itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan mempunyai empat orang anak.
Sebelum ini, media melaporkan pihak pengurusan Kopa Arena berdepan kerugian lebih RM200,000 apabila butik yang beroperasi di padang USM itu dilaporkan dipecah masuk seorang lelaki berkaca mata dan bersarung tangan.
Pengurus Kaki Jersi Wilayah Utara, Muhammad Mustafa Al-Bakri Arifin berkata, kejadian berlaku semasa premis berkenaan belum memulakan operasi.
Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) apabila kelibat seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup penuh telah memecah masuk ke butik berkenaan seorang diri.
Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor milik syarikat berkenaan telah dijumpai semula di kawasan Bukit Gambir selang beberapa hari kemudian manakala suspek pula dikatakan berjaya ditahan minggu lalu. -KOSMO! ONLINE