fbpx
Tangkap layar video memaparkan sebuah treler merempuh kenderaan di bahu jalan.

[VIDEO] Treler buat pusingan-U, langgar kereta di bahu jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Sebuah treler merempuh sebuah kereta ketika cuba membuat pusingan-U di tempat yang tidak dibenarkan di Jalan Hospital Sungai Buloh, di sini petang, semalam.

Tular di media sosial rakaman berdurasi satu minit 32 saat dari kamera papan pemuka yang merakam sebuah treler membuat pusingan-U sebelum mengundur dan melanggar kereta yang diletakkan di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.40 petang ketika pemandu treler berkenaan dalam perjalanan dari Klang menuju ke sebuah kilang di kawasan itu.

“Sampai di lokasi, pemandu treler menyedari tersalah masuk jalan lalu cuba membuat pusingan-U. Bagaimanapun ketika mengundur, kenderaan itu melanggar sebuah kereta yang diparkir di bahu kiri jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua pemandu yang terlibat telah hadir membuat laporan di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada hari sama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum 12 bulan.

“Polis menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi papan tanda lalu lintas dan tidak membuat pusingan-U di kawasan yang tidak dibenarkan bagi mengelakkan kemalangan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Azizul Azrin Bahro di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN