PETALING JAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang kini berada 366 batu nautika dari pesisir wilayah bergolak itu dijangka mengalami kelewatan empat hari berikutan masalah teknikal pada sebuah kapal pengiring, Johnny M.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal berkenaan mengalami kebocoran di ruang enjin sehingga dimasuki air pada awal pagi waktu tempatan, sekali gus memaksa ia menghentikan pelayaran.
Katanya, semua peserta termasuk enam wakil Malaysia yang berada di atas kapal Johnny M berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal lain pada pukul 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).
“SNCC menjangkakan misi berdepan kelewatan empat hari ke zone merah dan Gaza pada Khamis 2 Oktober,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, beliau menafikan dakwaan wujud insiden kebakaran membabitkan kapal yang membawa delegasi Malaysia dan menjelaskan semua pihak perlu merujuk kepada maklumat rasmi daripada GSF bagi mengelakkan sebarang propaganda serta berita palsu.
“Sekretariat menegaskan bahawa Misi Flotilla tetap diteruskan ke Gaza.
“Pihak SNCC menggesa semua penyokong, media, keluarga peserta dan masyarakat yang mendokong untuk terus menjadi penguat semangat dan tidak terpengaruh dengan cubaan halus melemahkan barisan solidariti antarabangsa ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE