ISKANDAR PUTERI – Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry bertekad untuk memastikan skuad Harimau Selatan mampu meraih kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang FC Machida Zelvia di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Pemain kelahiran Australia itu berkata, kemenangan tersebut itu sedikit sebanyak dapat mengubati kekecewaan Harimau Selatan yang tewas 1-2 kepada Buriram United pada aksi pertama ACLE, 16 September lalu.
Katanya, ‘mood’ kem Harimau Selatan dalam keadaan positif setelah kesemua pemain memberikan yang terbaik dan seluruh pasukan menyerlahkan komitmen tinggi untuk mengejutkan pasukan lawan.
“Kita tahu ia akan menjadi pertemuan yang sukar kerana mana-mana pasukan dari Liga 1 Jepun yang beraksi di kejohanan tertinggi Asia ini cukup berkaliber dan mempunyai pemain berkualiti.
“Namun, JDT juga ada kelebihan dengan beraksi di laman sendiri, sokongan penonton yang memenuhi stadium akan membakar semangat juang Harimau Selatan bagi memburu kemenangan,” ujarnya.
Sementara itu, pertahanan pelawat, Yuta Nakayama turut memasang impian sama setelah sekadar 1-1 pada aksi pembukaan ACLE menentang kelab Korea Selatan, FC Seoul.
Nakayama turut menyuarakan rasa teruja untuk berdepan JDT di dalam stadium yang dilabel sebagai berkelas dunia.
“Ini adalah perlawanan pertama kami di tempat lawan dan bersedia untuk mengecewakan pasukan tuan rumah. Kami akan pamer gaya permainan Machida yang berbeza dengan kelab Jepun yang lain bagi memastikan misi membawa pulang tiga mata tercapai,” katanya. – KOSMO! ONLINE