KEPALA BATAS – Aksi peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang berlangsung dalam keadaan tidak menentu hari ini menyaksikan kebangkitan pelumba pasukan Tudor Pro Cyling, Arvid de Kleijn meraih kemenangan.
Perlumbaan dari Padang Besar ke Kepala Batas sejauh 163 kilometer (km) itu bukanlah sesuatu yang mudah buat semua pelumba apabila perlu mengharungi cuaca berubah-ubah meskipun tidak ada sebarang aksi pendakian.
De Kleijn yang merupakan pelumba dari Belanda, mengatasi pemenang peringkat pertama di Langkawi semalam, Matteo Malucelli selepas melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 29 minit 59 saat (s).
Pelumba yang terkenal dengan julukan ‘The Little Gorilla’ itu berkata, menyuarakan rasa puas hati dengan kemenangan tersebut, terutamanya selepas baru sahaja kembali daripada kecederaan tulang selangka Jun lalu.
“Ya, saya sangat berpuas hati dengan kemenangan hari ini (semalam) dan sudah tidak sabar menantikan perlumbaan seterusnya. Saya mahu menikmati dahulu kemenangan hari ini kerana ia paling istimewa.
“Sebelum ini saya mengalami kecederaan dan mengambil masa yang lama untuk kembali. Saya rasa sudah semakin baik sejak beberapa minggu tetapi belum dapat apa dimahukan tetapi di sini, saya menang dengan bantuan rakan-rakan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.
Meskipun sudah memenangi satu peringkat perlumbaan pada edisi kali ini, namun pelumba berusia 31 tahun itu tidak meletakkan sasaran merebut jersi hijau selaku juara keseluruhan (GC), sebaliknya mensasarkan gelaran Raja Pecut.
“Tidak (jersi hijau) kerana ia memerlukan kekuatan kaki untuk mendaki dan itu tidak akan berlaku. Bagaimanapun, saya fikir jersi oren (Raja Pecut) mungkin ada peluang lebih baik,” ujarnya.
Sementara itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan menjadi pelumba terbaik Malaysia apabila melintasi garisan penamat di Kepala Batas di kedudukan keenam.
Esok, perlumbaan berstatus UCI 2.Pro Series itu akan meneruskan saingan bagi peringkat ketiga bermula di Gerik ke Pasir Puteh sejauh 198.2km meliputi tiga zon pendakian dan tiga zon pecutan. – KOSMO! ONLINE