PETALING JAYA – Tindakan seorang pemilik inap desa yang didakwa memasang kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam kediamannya dan mengawal penggunaan penghawa dingin menimbulkan rasa tidak puas hati pelanggan.
Seorang pelanggan, Syukri berkongsi pengalaman di Facebook selepas mendakwa privasi keluarganya diganggu apabila setiap pergerakan di ruang tamu dipantau melalui CCTV tersembunyi.
Katanya, dia hanya mengetahui perkara itu selepas menyedari unit penghawa dingin tiba-tiba tertutup sendiri walaupun masih berfungsi dengan baik.
“Saya sangka rosak, tapi bila tanya pemilik, dia kata isteri dia tutup sebab penggunaan berterusan lebih lapan jam. Katanya mahu jimat kos elektrik.
“Paling mengejutkan, dia turut mengaku ada pasang CCTV untuk pantau tetamu supaya tidak terlebih guna fasiliti atau melakukan kerosakan. Korang (kalian) pernah lalui kes macam ini?,” katanya.
Perkara itu mengundang kecaman netizen yang menyifatkan tindakan pemilik inap desa tersebut sebagai melampau dan tidak menghormati privasi tetamu.
“Setahu saya, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi dan juga undang-undang jenayah jika terbukti rakaman dibuat tanpa kebenaran.
“Pemilik hanya dibenarkan memasang CCTV di kawasan umum seperti luar rumah atau pintu pagar,” komen Mohd. Talib.
“Homestay (inap desa) sepatutnya memberi keselesaan, bukan menimbulkan rasa takut. Nak berniaga, tapi semua nak dikawal. Pasang CCTV sampai dalam bilik tu satu jenayah. Tetamu bukan 24 jam pakai baju, pakai tudung,” kata Azura. – KOSMO! ONLINE