PORT DICKSON – Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berterima kasih kepada kerajaan kerana pelaksanaan pertama inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON95 (Budi95) membabitkan mereka
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, langkah itu tanda keprihatinan dan pengiktirafan kerajaan buat setiap warga ATM dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM)
“Kami saya percaya setiap warga ATM dan juga PDRM amat bebesar hati serta mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas keprihatinan dan juga periktirafan yang diberikan kepada setiap warga PDRM dan PDRM untuk menikmati subsidi RON95 ini.
“Saya rasa ia sedikit sebanyak boleh meringankan beban sara hidup anggota-anggota kita yang selama ini memberikan pengorbanan masa, jiwa dan raga untuk rakyat Malaysia mengekalkan keamanan dan kestabilan dalam negara,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 203/2025 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.
Sementara itu, salah seorang anggota tentera yang ditemui di sebuah stesen minyak di daerah ini, Pegawai Waran 1, Mohamad Salleh Kosnon, 41, berkata, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan kerana langkah itu membantu meringankan beban serta kos minyak berulang-alik setiap minggu ke Kluang, Johor.
“Saya naik motosikal sahaja, sekali hala isi dalam RM20 dan selepas ini tentu kos akan berkurangan. Penggunaan minyak saya juga tidak lebih 300 liter sebulan dan membolehkan saya menikmati sepenuhnya subsidi ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain memaklumkan, perajurit muda ATM berpeluang melanjutkan pendidikan mereka melalui program Professional Military Education (PME) sekaligus membuka peluang mereka untuk menikmati kadar gaji yang lebih tinggi.
Katanya, peluang tersebut akan terbuka kepada 1,123 perajurit muda lelaki siri 203/25 yang telah berjaya menamatkan latihan asas tentera darat selama enam bulan bermula 5 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE