PETALING JAYA – “Hello ‘si scammer’ (penipu) berhati busuk, dasar talam dua muka kau pandai berkata manis tetapi tipu peniaga. Dengki dengan orangkah?”
Itu antara reaksi netizen mengecam tindakan seorang pelanggan yang menghilangkan diri selepas memesan hampir 600 biji popia.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, seorang peniaga wanita meluahkan rasa kecewa selepas dipercayai ditipu pelanggan yang tidak membayar wang deposit kerana mendakwa hanya mempunyai tunai.
“Saya dah minta dia (pelanggan) bayar wang pendahuluan sebab serik ditipu pelanggan sebelum ini, tapi katanya ikhlas buat pesanan sebanyak itu untuk sambutan hari lahir anaknya.
“Pelanggan ini pesan popia 12 set keluarga iaitu 520 biji popia dengan jumlah bayaran (harga) sebanyak RM741. Saya sanggup pergi kedai beli minyak tambahan untuk siapkan pesanan popia dalam masa dua jam. Namun, dia (pelanggan) menghilangkan diri,” katanya.
Menurutnya, dia cuba menghubungi pelanggan tersebut dengan menggunakan telefon milik pekerja, namun tiada jawapan.
Perkongsian tersebut menarik perhatian netizen di media sosial.
“Hidup kau bosan sangat ke sampai sanggup aniaya orang cari rezeki?,” kata @Nyyyylara
“Syarat pertama bila berniaga, jangan ambil pesanan selagi tak bayar. Faham perasaan teruja dapat banyak pesanan, tapi manusia ini jangan percaya sepenuhnya,” pesan Rabiatul.
“Tolong ambil wang pendahuluan, saya pun berniaga sampai serik dengan pelanggan. Dapat pesanan (tempahan) banyak macam ini siapa yang tak gembira. Jadikan pengajaran, semoga murah rezeki selepas ini,”kata @ramadhani_sholiahah2. – KOSMO! ONLINE