MELAKA – Polis negeri mengesahkan tiada sebarang kejadian samun berlaku di Lorong Pokok Mangga dekat sini seperti yang tular di media sosial, sebaliknya insiden itu hanyalah salah faham melibatkan operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya mengesan video berdurasi satu minit 37 saat dimuat naik di Facebook oleh akaun bernama ‘Tuan Pang’ semalam mendakwa berlaku cubaan samun di lokasi berkenaan.
“Hasil siasatan kita mengesahkan ada menerima laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 28 tahun yang mendakwa dirinya cuba disamun ketika memandu sebuah Perodua Myvi menuju ke Taman Limbongan Permai kira-kira pukul 12.45 tengah malam, 19 September lalu.
“Dia mendakwa telah dihampiri tiga lelaki berpakaian hitam yang tiba-tiba keluar dari lorong dan mengejar kenderaanya sambil cuba membuka pintu. Dia yang terkejut kemudian bertindak melarikan diri sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Ujarnya, siasatan lanjut dilakukan bagaimanapun mendapati pada pukul 3.29 pagi hari sama, JKDM Melaka telah membuat laporan polis berkaitan operasi penguatkuasaan di lokasi berhampiran di Lorong Pokok Mangga 4 dan menahan tiga warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Tangkapan dilakukan oleh Ketua Cawangan Operasi Risikan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka dan kes disiasat di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670), Seksyen 50 Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Tiga individu berpakaian hitam terbabit sebenarnya merupakan anggota JKDM yang sedang menjalankan operasi dan pengadu secara kebetulan melalui kawasan itu lalu disyaki terlibat dengan aktiviti berkaitan siasatan, menyebabkan pasukan operasi bertindak mengejarnya,” ujarnya.
Kata Christopher, kedua-dua pihak kemudian hadir ke Balai Polis Ayer Keroh dan bersetuju bahawa kejadian tersebut hanyalah salah faham. – KOSMO! ONLINE