PETALING JAYA – Polis menahan lelaki warga emas kerana memandu secara melawan arus dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, lelaki tempatan berusia 80-an itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, sebelum itu, pihaknya mengesan sebuah video tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta dipandu melawan arus di lebuh raya berkenaan pada pukul 10.30, semalam.
“Semakan mendapati kejadian berlaku pada pukul 1 pagi, hari sama dan susulan itu, polis berjaya mengesan dan menahan lelaki warga emas iaitu pemandu kenderaan berkenaan.
“Semakan mendapati pemandu kereta berkenaan tiada sebarang rekod lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lelaki warga terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan, semalam atas faktor umur dan kesihatan.
Katanya, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya.
“Polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian atau kemalangan.
“Kami juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang memandu secara berbahaya serta akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@ahmadzufarr Kejadian sekitar pukul 1.00 am tadi. Betul-betul lepas Jejantas Sg Buloh hala ke Bukit Lanjan. Aku tak tau apa masalah Honda City HB ni. Bumper belakang dah kemek tak tahu la lari dari orang ke apa. Kalau dia normal, dia takkan buat macam ni. Salah jalan pun mesti berhenti bukan teruskan perjalanan lawan arus kat lane speeding woi! Aku harap jangan la ada yang bertembùng, tengok gaya lawan arus sampai menuju ke Duta tu. #Dashcam #DashcamMalaysia #LawanArus #SgBuloh #Fyp ♬ original sound – Zufar