PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhammad Akmal Saleh mahu Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul merasai sendiri kerja bertugas atas panggilan atau ‘oncall’ di hospital.
Teguran berkenaan dilontarkan Muhammad Akmal selepas Johari mengeluarkan kenyataan menolak cadangan pemotongan gaji Ahli Parlimen sebanyak 50 peratus bagi membiayai kenaikan elaun bertugas atas panggilan para doktor.
“Saya minta YB (Yang Berhormat) untuk kerja oncall di hospital. Barulah YB tahu mcm mana situasi yang mereka hadapi.
“YB sedap tidur di rumah besar,katil empuk,ada air cond (penghawa dingin). Mereka bersengkang mata,bekerja untuk menyelamatkan nyawa,”tulisnya di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Ketua Pemuda UMNO itu menambah bahawa kerja doktor di hospital adalah menyelamatkan nyawa.
“Bukan hanya buat kenyataan bodoh dan tindakan bodoh lepas tu dapat gaji berpuluh ribu!!. Kalau tak nak bagi, tak perlu pun kenyataan macam ini,buat rakyat sakit hati dengan orang politik,”tegasnya.
Terdahulu, Johari dalam satu kenyataan seperti yang dilaporkan portal berita memaklumkan bahawa beliau menolak cadangan itu kerana Ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab dan skop tugas yang berbeza. – KOSMO! ONLINE