fbpx
FAM akan membuat rayuan kepada FIFA berhubung tindakan yang dikenakan berkaitan kes pemain warisan.

FAM akan buat rayuan kepada FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat rayuan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung tindakan yang dikenakan berkaitan kes pemain warisan.

FAM menerusi kenyataannya mengesahkan telah menerima keputusan rasmi daripada FIFA namun menegaskan bahawa para pemain terbabit dan FAM sendiri telah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses ini.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, FAM telah menguruskan segala dokumentasi serta prosedur berkaitan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak untuk beraksi mewakili Malaysia.

“Sehubungan dengan keputusan ini, FAM akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain serta pasukan kebangsaan Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.

Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan tegas oleh FIFA selepas melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain berkenaan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Hasil semakan, Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala pemain diarakan membayar denda CHF2,000 (sekitar RM10,000).

“FAM kekal komited untuk bertindak dengan tegas, mematuhi peraturan antarabangsa serta mempertahankan integriti bola sepak negara. Kami juga akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses yang dijalankan adalah telus, adil dan berlandaskan semangat kesukanan,” kata Mohd Yusoff. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN