KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain dikenakan tindakan tegas oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain berkenaan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Menerusi kenyataan rasmi FIFA, badan induk bola sepak antarabangsa itu memaklumkan FAM menyerahkan dokumen palsu bagi membolehkan tujuh pemain terbabit beraksi untuk skuad kebangsaan.
Hasil semakan, Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala pemain diarahkan membayar denda CHF2,000 (sekitar RM10,000).
Malah lebih perit apabila pemain juga dikenakan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, berkuatkuasa daripada notis dikeluarkan.
FIFA turut merujuk isu kelayakan pemain terbabit untuk terus mewakili Malaysia kepada Tribunal Bola Sepak FIFA bagi pertimbangan lanjut. – KOSMO! ONLINE