LONDON – Manchester United hadir ke markas Brentford dengan sedikit kelegaan selepas menamatkan rentetan hambar menerusi kemenangan 2-1 ke atas Chelsea minggu lalu, sekali gus meredakan tekanan terhadap pengendali mereka, Ruben Amorim.
Kemenangan itu dianggap ‘wajib’ selepas United mencatat permulaan terburuk dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 1992 dan turut melonjakkan mereka ke tangga ke-11 menerusi tujuh mata sama dengan seteru setempat, Manchester City di kedudukan kesembilan.
Statistik turut memihak kepada The Red Devils apabila mereka menjadi pasukan paling banyak melakukan percubaan setakat ini iaitu 81, berbanding Brentford yang paling sedikit (41) dengan purata 16.2 percubaan setiap perlawanan juga lebih baik daripada musim lalu.
Bagaimanapun, rekod di tempat lawan menjadi kebimbangan utama selepas United gagal menang dalam tujuh perlawanan liga terakhir di gelanggang lawan dan kekalahan 3-4 kepada Brentford pada Mei lalu masih segar dalam ingatan.
United juga sudah tewas 15 daripada 24 kunjungan terakhir ke London, menjadikan aksi di Stadium Komuniti Gtech ini sebagai ujian penting untuk Amorim membuktikan kebangkitan mereka bukan sekadar sementara.
Pemain tengah bertahan, Manuel Ugarte dijangka bergandingan dengan ketua pasukan, Bruno Fernandes di tengah padang bagi mengemudi rentak permainan.
Barisan serangan turut menarik perhatian apabila Matheus Cunha bersaing untuk diturunkan bersama Benjamin Sesko dan Bryan Mbeumo yang akan kembali menentang bekas kelabnya buat pertama kali sejak menyertai United musim panas lalu.
Brentford pula berdepan tekanan selepas tewas 1-3 kepada Fulham minggu lalu dan kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran, namun mereka tetap menaruh harapan pada Kevin Schade yang pernah meledak dua gol ketika menundukkan United musim lalu. – AGENSI