LONDON – Penyerang Liverpool, Alexander Isak menganggap jaringan sulungnya bersama pasukan ketika aksi pusingan ketiga Piala Liga Inggeris menentang Southampton memberi bukti jelas dirinya mahu memainkan peranan lebih besar.
Jaringan itu hadir tepat pada masanya memandangkan seorang lagi penyerang, Hugo Ekitike tidak dapat beraksi ekoran layangan kad merah menjelang aksi menentang Crystal Palace yang masih belum tewas dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam ini.
Bintang dari Sweden itu juga kembali berada dalam motivasi terbaik untuk memenuhi jangkaan dan menyatakan kesediaan untuk terus bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Apabila kamu bermain dengan kelab seperti Liverpool, kami kena bersaing dengan semua penyerang. Objektif utama adalah untuk terus kekal kompetitif dalam semua pertandingan dan cuba memenangi perlawanan.
“Namun, situasi saya agak berbeza kerana saya mempunyai tugas tambahan tetapi semua itu adalah perkara normal. Saya gembira untuk melakukan apa juga kerja diberikan bagi membolehkan saya berada pada tahap terbaik.
“Saya sudah bekerja keras untuk kembali pada prestasi terbaik dan sekarang segala keputusan adalah bergantung kepada jurulatih untuk membuat keputusan,” katanya.
Sebelum ini, Ekitike bertindak membuka bajunya ketika meraikan jaringan menentang Southampton hingga dilayangkan kad merah sambil Slot melabel tindakan penyerangnya itu sebagai sesuatu yang bodoh. – AGENSI