BANGKOK – Seorang lelaki Belanda di Thailand ditangkap selepas cubaan pelik mencuri sebuah mesin teler automatik (ATM) dengan menyeretnya menggunakan trak pikap selepas bertengkar dengan isterinya mengenai masalah wang, lapor portal berita MSNews hari ini.
Menurut portal berita Khaosod, kejadian berlaku Ahad lalu di daerah Muang, wilayah Udon Thani.
Lelaki itu dikenali sebagai Sijtse dan isterinya yang merupakan warga Thailand, Waraporn telah melaburkan kira-kira 10 juta baht (RM1.3 juta) dalam perniagaan restoran mereka,
Namun, masalah kewangan dilaporkan sering mencetuskan pertengkaran.
Pada malam hari kejadian, Sijtse keluar dari rumah dengan marah, memberitahu isterinya bahawa dia menuju ke wilayah Nong Khai untuk bertemu rakan.
Sebaliknya, dia didakwa menyasarkan sebuah mesin ATM di bandar.
Waraporn hanya mengetahui perkara itu pada keesokan hari apabila polis menghubunginya untuk memaklumkan bahawa suaminya telah ditahan.
Polis menemui Sijtse berhampiran lokasi kejadian, dengan mesin ATM yang dirantai pada belakang pikapnya.
Mesin berat itu diseret kira-kira 20 meter dari tempat asalnya di hadapan sebuah kedai.
Pihak berkuasa berkata, Sijtse berdepan pelbagai tuduhan, termasuk kes kecurian, kerosakan harta benda dan menggunakan kenderaan untuk melakukan jenayah.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, dengan kemungkinan hukuman tambahan kerana menggunakan trak pikap. – AGENSI