PETALING JAYA – Gembira, syukur dan lega, itu antara respons rakyat Malaysia selepas disahkan layak menerima subsidi RON95 melalui inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Sejak semalam, laman sosial dibanjiri perkongsian tangkap layar status kelayakan masing-masing yang dibuat menerusi www.budimadani.gov.my.
Rata-rata yang layak menzahirkan keterujaan apabila subsidi itu membolehkan mereka menikmati harga petrol RON95 serendah RM1.99 seliter berbanding kadar semasa RM2.05 bermula 30 September ini.
Pengguna bukan warganegara pula, perlu membeli RON95 pada anggaran RM2.60 seliter.
Bagi pengguna yang membawa kenderaan ulang-alik bekerja setiap hari, penjimatan tersebut dianggap sangat bermakna kerana mampu mengurangkan perbelanjaan isi rumah sehingga hampir RM200 sebulan.
Pekerja swasta, Noraini Hani Ahmad, 30, berkata, walaupun penurunan nampak kecil iaitu enam sen seliter, namun jumlah terkumpul dapat digunakan untuk menampung kos barangan lain ditambah pula kos sara hidup semakin meningkat.
“Syukur kerajaan ambil langkah ini. Kami rasa lebih lega sebab duit minyak dah kurang, boleh salur kepada belanja sekolah anak, keperluan lain-lain,” katanya kepada Kosmo!.
Sementara itu, penjawat awam, Mohd. Azrul Roslan, 33, pula menyifatkan skim subsidi itu sebagai satu bentuk keprihatinan Kerajaan Madani terhadap rakyat berpendapatan sederhana yang terkesan dengan kos sara hidup.
“Saya isi minyak motor hampir setiap hari kerana perlu berulang kerja dari Rawang ke Kuala Lumpur. Terima kasih Kerajaan Madani kerana cakna dengan isu kos hidup rakyat. Saya pasti ramai yang sangat lega dengan usaha bermakna dibuat pihak kerajaan,” ujarnya.
Bagi pekerja kilang, Lim Wei Jie, 28, subsidi itu memberi kelegaan kerana dia berulang-alik hampir 100 kilometer setiap hari dari rumah ke tempat kerja.
“Dengan harga minyak lebih murah, saya dapat jimat sekurang-kurangnya RM100 sebulan untuk perjalanan dari Bangi ke Shah Alam. Saya pandu kereta, kos minyak pasti tinggi. Jadi bila dah murah, sangat seronok sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi seorang ibu tunggal, Farah Hidayah, 40, penjimatan kecil seperti ini memberi impak besar kerana dia perlu menguruskan tiga anak yang masih bersekolah.














