fbpx
Anwar ketika tiba pada Majlis Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Ke-57 semalam.

ASEAN diyakini jadi blok ekonomi ke-4 terbesar dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin ASEAN mampu melonjak menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 berikutan kekuatan semasa dan pelbagai perjanjian perdagangan yang telah dimeterai.

Menurutnya, ASEAN kini berdiri sebagai ekonomi kelima terbesar dunia dan dengan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta perjanjian perdagangan dipertingkat, prospek pertumbuhan rantau ini semakin kukuh.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-57 yang berlangsung di Taman Botani Perdana, sebaik tiba dari lawatan rasmi ke Timor-Leste semalam.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar menegaskan tonggak ekonomi kekal sebagai matlamat utama komuniti serantau yang bersepadu, berdaya saing dan berdaya tahan sejak penubuhan ASEAN Economic Community (AEC) pada 2015.

“ASEAN tidak boleh hanya menjadi pemerhati pasif, sebaliknya mesti memimpin dengan mengukuhkan rantaian bekalan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melabur dalam kelestarian serta merangkul inovasi,” katanya.

Katanya, langkah bersejarah mengadakan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN bulan depan bakal memperkukuh kesepaduan rantau ini dalam mendepani cabaran geopolitik serta geoekonomi.

Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memastikan pertumbuhan inklusif tanpa meninggalkan mana-mana negara anggota, di samping menghargai peranan rakan dialog serta menyambut baik penyertaan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN.

“ASEAN bukan sekadar sebuah rantau, tetapi sebuah janji tentang potensi tanpa batas yang mesti kita buka bersama demi kesejahteraan rakyat, kerjasama rakan serantau dan masa depan generasi mendatang,” katanya.- KOSMO!ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN