KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim menarik nafas lega apabila pasukan kembali mempamerkan mentaliti kemenangan selepas menewaskan Tampines Rovers 4-2 dalam aksi Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium MB Petaling Jaya, kelmarin.
Pada perlawanan itu, Faisal berada pada tahap terbaik untuk membantu pasukan melakar keputusan positif selepas meledak satu gol selain rembatannya turut ditampan pertahanan lawan, Shuya Yamashita ke gawang sendiri.
Faisal mengakui kemenangan tersebut cukup penting untuk meringankan tekanan yang dipikul oleh pasukan selepas tewas dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.
“Sebagai kapten, saya hanya boleh memberikan motivasi kepada rakan sepasukan dan buat masa ini, kami seperti satu keluarga dan bersatu pada setiap perlawanan dan kejohanan yang disertai.
“Saya adalah seorang pemain yang mempunyai mentaliti untuk menang dan tidak boleh terima jika kalah setiap perlawanan kerana ia akan membuatkan kami sedih.
“Jadi, saya gembira dengan kerja keras yang dipamerkan oleh rakan-rakan sepasukan dan harap ini dapat jadi titik perubahan buat pasukan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas mengenai ketiadaan kumpulan penyokong fanatik, Ultras Selangor yang dilihat ‘memboikot’ perlawanan kelmarin, Faisal menyifatkan itu di luar kawalan pasukan.
Pemain berusia 28 tahun ini berkata, apa yang barisan pemain boleh lakukan adalah mempamerkan prestasi dan berjuang di atas padang.
“Walaupun Ultras (Selangor) tiada di sini, pemain tetap berjuang kepada peminat yang hadir. Kita tahu pemain datang dan pergi, jurulatih juga datang dan pergi tetapi kelab ini (Selangor FC) sentiasa ada buat penyokong,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan Selangor FC kini mengungguli carta Kumpulan A selepas mengutip empat mata daripada dua perlawanan kejohanan berprestij peringkat Asia Tenggara itu musim ini.