PETALING JAYA – “Jangan malu dan jangan segan untuk maklumkan pada saya jika melibatkan kesihatan.”
Demikian reaksi Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh ke atas seorang penduduk yang mahu mendapatkan rawatan di klinik beliau, tetapi tidak mempunyai wang yang mencukupi.
Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu berkata, kesihatan adalah perkara penting, manakala soal bayaran pula boleh diusahakan kemudian.
“Duit esok lusa boleh cari, tetapi kesihatan tiada nilainya. Saya sendiri pernah merasai keadaan seperti ini ketika kecil.
“Insya-Allah kita kongsi rezeki dan kasih sayang bersama tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik,” katanya Ketua Pemuda UMNO itu dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau turut memuat naik pesanan WhatsApp oleh individu yang memaklumkan tidak mempunyai wang yang mencukupi bagi rawatan anaknya.
Individu tersebut memohon ihsan daripada pihak klinik Dr. Muhamad Akmal untuk merawat bayinya yang berusia tujuh bulan kerana demam.
“Tetapi sekarang saya tiada duit. Suami (terima) gaji 2 haribulan. Nanti suami dah gaji saya datang bayar,” kata individu tersebut.
Dr. Muhamad Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata, beliau berasa berdosa sekiranya tidak dapat membantu penduduk kampungnya sendiri. – KOSMO! ONLINE