PETALING JAYA – Hampir sebulan menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, penyanyi Zizi Kirana mengakui kian lupa terhadap kerjaya nyanyian berikutan tumpuan kepada pelayaran dengan Global Sumud Flotilla (GFS).
Zizi atau nama lengkapnya, Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata, dalam situasi sekarang yang hampir tiba ke destinasi akhir membuatkannya sukar menetapkan tarikh kepulangan ke tanah air.
“Semalam buat panggilan video dengan pengurus dan kami borak fasal Global Sumud Flotilla. Dia tanya agak-agak bila balik Malaysia sebab ada beberapa acara nak jemput buat persembahan.
“Saya hanya jawab insya-Allah. Saya bergurau cakap kepada dia lupa macam mana buat persembahan atas pentas. Lupa saya ini penyanyi,” katanya dalam hantaran Threads.
Turut berkongsi situasi di kapal layar bersama sukarelawan negara lain, isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu menegaskan semangatnya masih membara biarpun mengharungi pelbagai dugaan.
“Sudah 22 hari rupa-rupanya saya berada di lautan. Tetap semangat menuju ke Gaza,” ujarnya.
Dilaporkan kapal layar yang membawa Zizi bersama 37 kapal lain dalam misi GSF bagi menghantar bantuan ke wilayah dijarah rejim Zionis itu kini sudah memasuki perairan Mediterranean.
Usaha membabitkan penyertaan ramai aktivis dari seluruh dunia itu antara lain merupakan laungan untuk menghentikan sekatan terhadap rakyat Palestin dengan menghantar bantuan.
Zizi antara 15 rakyat Malaysia termasuk pelakon Ardell Aryana yang mengikuti misi bantuan itu dan mereka berlepas dari tanah air pada 31 Ogos lalu.
Rombongan berkenaan dijangka dapat tiba di perairan Palestin dalam tempoh lapan hari lagi andai tiada sebarang kekangan. – KOSMO! ONLINE