PARIS – Hampir 24 dewan perbandaran di Perancis mengibarkan bendera Palestin di pintu masuk masing-masing hari ini, mengingkari amaran kementerian dalam negeri untuk tidak berbuat demikian menjelang pengiktirafan negara Palestin oleh Presiden Emmanuel Macron.
Macron dijadualkan mengiktiraf negara Palestin di New York di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, susulan janji beliau pada musim panas tahun ini yang menimbulkan kemarahan Israel.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri berhaluan kanan, Bruno Retailleau yang juga pemimpin Parti Republikan mengeluarkan pekeliling pada minggu lalu, mengarahkan pentadbiran tempatan menentang pengibaran bendera tersebut.
“Prinsip neutral dalam perkhidmatan awam melarang paparan sedemikian,” kata kementerian dalam negeri sambil menambah, sebarang keputusan oleh datuk bandar untuk mengibarkan bendera Palestin harus dirujuk kepada mahkamah terlebih dahulu.
“Malam ini, presiden (Macron) akan mengumumkan di PBB pengiktirafan negara Palestin.
“Nantes menyokong keputusan bersejarah Perancis dengan mengibarkan bendera Palestin hari ini,” kata Datuk Bandar Nantes, Johanna Rolland di laman X.
Bendera Palestin telah pun berkibar di hadapan dewan perbandaran Nantes, salah satu bandar utama di barat Perancis, lapor seorang wartawan AFP.
Di pinggir kota Paris, Saine-Saint-Denis juga mengibarkan bendera Palestin dalam satu majlis yang dihadiri oleh pemimpin tempatan Olivier Faure yang menentang keras arahan Retailleau dan berkata, beliau telah menulis surat kepada Macron meminta Presiden Perancis menarik balik arahan itu.
“Ini adalah tanda solidariti untuk mengiktiraf negara Palestin, katanya kepada saluran BFMTV.
Sebanyak 6 dewan perbandaran di pinggir kota Paris yang dikuasai parti-parti politiik sayap kiri juga mengibarkan bendera tersebut.
Secara keseluruhan, sebanyak 21 dewan perbandaran di seluruh negara mengibarkan bendera Palestin, kata kementerian dalam negeri. – AFP