fbpx
Fareez Fauzi sanggup menceburi gelanggang tinju walaupun sedar dirinya bukan atlet profesional. - FIRDAUS JOHARI

‘Tiada gaji tetap, asalkan kerja halal, saya sanggup buat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Demi kelangsungan hidup, pelakon dan penyanyi Fareez Fauzi sanggup menceburi gelanggang tinju walaupun sedar dirinya bukan atlet profesional.

Fareez atau nama sebenarnya Muhammad Fareez Hazwan Mohd. Fauzi, 28, berkata, keputusannya itu bukan kerana mahu mencari lawan sebaliknya sebagai usaha menambah rezeki untuk keluarga.

“Antara sebab saya sertai tinju, sebab peluang berlakon yang saya tunggu-tunggu sebelum ini tidak menjadi.

“Orang lain yang dipilih. Dari situ saya sedar, mungkin bukan rezeki saya. Saya tak boleh tunggu terlalu lama. Bukan bermaksud putus asa, cuma saya tak mahu terus menunggu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengakui hidup sebagai pelakon tidak menjanjikan pendapatan tetap, pelantun lagu Sedar itu terbuka menerima apa sahaja rezeki demi menyara isteri dan anaknya.

“Sejujurnya, saya memang tiada gaji tetap. Tetapi alhamdulillah, rezeki Allah sentiasa ada untuk keluarga. Yang penting usaha.

“Apa pun kerja, sama ada berniaga atau apa sahaja yang halal, saya buat. Tak perlu malu sebab orang lain bukan pemberi makan kita.

“Saya sedar, mungkin sebab orang lain lebih popular dan lebih menawan, mereka dapat peluang. Tapi bagi saya, rezeki kita tetap ada di mana-mana,” ujarnya pada saringan pertama All Star Championship 2025, di sini, semalam.

Tambah anak kepada aktor Fauzi Nawawi itu, fokusnya kini bukan lagi menunggu tawaran lakonan semata-mata, sebaliknya mencari peluang di mana sahaja ada ruang.

“Lebih 10 tahun saya dalam industri. Ramai kawan dah bina nama, tapi saya masih belum sampai ke tahap itu. Sekarang saya dah berkeluarga. Anak dan isteri perlukan saya untuk terus bertahan. Jadi, di mana ada rezeki, di situlah saya akan pergi.

“Kalau tawaran berlakon semakin kurang, saya tetap cuba sertai uji bakat. Kalau tak ada rezeki, saya redha. Mungkin Allah nak saya fokus pada jalan lain,” tambahnya.

Paling penting kata Fareez, dia tidak menolak untuk serius dalam arena tinju hiburan sekiranya diberi peluang, terutama pertandingan membabitkan artis dan pempengaruh.

“Saya memang sasarkan ke arah itu. Kalau ada acara seperti Fury atau Beyond versi Malaysia, saya mahu cuba.

“Tapi saya tidaklah sampai nak berlawan dengan petinju profesional, sebab niat saya hanya untuk cabang rezeki, bukan cari makan sebagai fighter,” jelasnya.

Sebelum ini, Fareez mencatat kemenangan dalam saringan pertama tinju artis apabila berjaya menumbangkan regu lawan, Sonic, sekali gus menguatkan semangatnya untuk terus berada di gelanggang.

Acara berprestij itu menghimpunkan 80 pempengaruh dari 20 negara Asia dan Timur Tengah, selain siri jelajah lapan negeri di Malaysia bagi memperkenalkan budaya, makanan, seni dan alam semula jadi kepada dunia.

Majlis kemuncak penganjuran All Star Influencer Award (Asia) 2025 (ASIA2025) akan berlangsung pada 19 Oktober depan dengan pemenang utama bakal membawa pulang hadiah wang tunai yang mencecah mencecah RM50,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN